Monday, March 24, 2008

4. Solat Seorang Penipu

Imam Ghazali dalam kitabnya (Kitab al-Arba’in fi Usul al-Din) mengenai erti mendirikan solat.

Menurutnya, erti mendirikan solat ialah engkau menjaga JIWA sembahyang iaitu IKHLAS dan kehadiran hati di dalam segala bahagiannya. Maka :

  • janganlah engkau sujud dan ruku’ melainkan hati sudah bersedia melakukan khusyu’ lagi sesuai dengan apa yang dikerjakan anggota zahirmu. Kerana apa yang dikehendaki ialah kepatuhan hati dan bukan kepatuhan anggota badan; dan

  • janganlah engkau mengatakan ALLAHU AKHBAR (Allah yang Maha Besar) padahal dalam hati engkau ada lagi yang lebih besar dari Allah swt; dan

  • janganlah engkau mengatakan Wajjahtu Wajhiya (Aku hadapkan muka) melainkan hatimu sudah menghadapi semuanya kepada Allah swt sahaja dan berpaling terus dari yang lain; dan

  • janganlah engkau berkata Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) melainkan hati engkau telah penuh dengan rase syukur atas segala ni’matnya, gembira lagi riang dengannya; dan

  • jgnlah engkau berkata waiyya kanas ta’in (Dan kepadaMu kami mohon pertolongan) melainkan engkau terasa betul akan kelemahan dan kedhai’fanmu.

Bila kita bermuhasabah tentang erti solat ini, betapa aku sedar, solat yang selama ini dikerjakan lima kali sehari tidaklah sempurna mana. Apa tidaknya! Contohnya bila kat opis. Macam-macam mende dok main dalam benak. Datelinelah, kertas kerjalah, staf pontenglah dan macam-macam lagilah. Kalau boleh semuanya nak diselesaikan sendiri.

Bila ada masalah, kita akan minta bantuan orang, bantuan member-member. Bantuan dari Allah?!!! Tapi dalam al-Fatihah, ILMU mengajar mulut untuk melafazkan “Iyya kanaq budu wa iyya kanas ta’in (hanya pada Engkau aku sembah dan hanya pada Engkau aku mohon pertolongan)”. Aku menipu rupa-rupanya.

Solat pun kadang-kadang nak dihabiskan dengan cepat sebab dah habis waktu rehat dan dah time masuk kerja. Bila sampai rumah, nak tengok kerja sekolah anak pulak. Nak ajar dia ngaji muqaddam lagi.

Padahal, waktu solat itulah yang sepatutnya kita menyerahkan segala-galanya pada Allah swt. Seluruh hati dan jiwa. Dah di luar solat aku langsung tak berserah. Dalam solat kelentong pulak! Adusss!!

Masa jasad bergerak - ruku’, sujud dan sebagainya - hati dan perasaan tidak menyertakan tafahum, tidak ada tawaduk, tidak ada taddabur. Paling bagus hanyalah menterjemahkan lafaz bahasa arab ke dalam hati. Itu bukan sembahyang namanya.

  • mana pergi rase takut pada Allah?
  • mana pergi rase syukur pada Allah?
  • mana pergi rase kebergantungan pada Allah?

Buat penat belajar istighna’ dan iftikor. Tapi tak tahu untuk dibawa ke dalam sembahyang.

Buat penat tafsil satu persatu sifat Rasulullah tapi masa tahiyyat tak faham kenapa beri salam pada nabi “Assalamualaika ya ayuhannabiyu ………” dan salam untuk diri sendiri dan para solihin “assalamualaina wala ibadi solihin” . Diri yang mana ni? Kenapa pulak kena beri salam masa tahiyat? Laaa rupanya tak tafahum lagi aku ni. Penipu!

Paling menarik sekali semasa melafazkan “ Innasolati wanusuki wamahya wamamati lillahi rabbil a’lamin” (sembahyang ku dan segala amal ibadat ku dan semasa hayat ku dan semasa mati ku aku serahkan kepada Allah Penguasa sekalian alam.) He he he betul ker? Dah serah betul-betul ke aku ni? Sekadar baca dan faham makna terjemahanlah aku ni rupanya ye? Alahai, jadi penipulah aku rupanya.

Hebat betul aku kerana menipu Allah SWT yang Maha Mengetahui (al-Alim) dan Maha Mendalam Pengetahuannya (al-Khabir). Itu pun Dia tetap juga mengurniakan rezeki pada aku. Menunjukkan jalan kepada aku untuk bertemu dengan Syeikh Muhammad Azmi untuk belajar usuluddin walaupun aku dah menipu Dia lima kali sehari. Ya Allah! Kasihnya Engkau pada hamba tak terhingga. Ampunkan aku Ya Allah serta sahabat sepengajian aku.

Sahabat, paling best sekali aku dok sibuk nak pecah kepala fikir pasal zat solat. Padahal perkara ringkas seperti di atas tak dilaksanakan lagi. Ingatlah! Apa yang Syeikh Muhammad Azmi (Ayahanda Pak Teh) sampaikan dalam faslun suatu ketika dahulu.

“Ngaji ngaji ngaji …. Sifat akan tinggal sifat, yang hanya ada zat semata-mata haaaaa”

Ya Allah, ya Rasulullah. Ampunkanlah aku atas segala penipuan yang telah aku lakukan selama ini. Kau lebih mengetahui akan apa yang ada dalam isi hati ku. Lindungilah aku dan sahabat ku. Bimbinglah kami ke jalan yang lurus.

Sahabat sekalian, jom kita renung kembali cara kita melakukan salah, jom kita perbaiki keindahan solat kita dengan menambahkan rasa berharap kepada Allah, cuba memahami pengertian bacaan dan surahsurah dalam solat, bukan sekadar tahu makna terjemahan sahaja.

  • Rukun Fi’li wajib dijaga.
  • Rukun Khauli perlu diperbaiki.
  • Rukun Qalbi perlu dihayati.

Badan ruku’ dan sujud tapi hati tak ikut sekali ruku’ dan sujud, sama ada dalam sembahyang mahu pun di luar sembahyang. Maka layakkah kita nak mengenal Allah?!!!! Dah la tu, Rasul pun tak kenal lagi.

Rukun Fi’li dan Rukun Qalbi juga wajib dibawa di luar sembahyang. Hidup kita, ilmu kita, kehendak kita, qudrat kita, pendengaran kita, penglihatan kita dan perkataan kita (sifat baharu) wajib dipulangkan kembali kepada Allah. Barulah syok menghadap kiblat. Menghadap kiblat ertinya memalingkan segala sesuatu selain Allah walaupun di luar sembahyang. Kalau merasa susah, mohon hanya pada Allah. Bukan pada manusia. Barulah nikmat apabila menyebut “Inni wajahtu wajhiyalazi fatarasama wa tiwalard (Aku menghadapkan wajah ku kepada wajah tuhan yang menjadikan sekelian alam)”.

Syeikh Abdul Qadir al-Jilani suruh kita membaca kitab Futuh al-Rabbani dan Sirr us-Asrar bukan kerana maqam dah tinggi!! Tapi kerana kita tak banyak penghayatan. Sembahyang di luar sembahyang banyak diceritakan beserta dengan contoh-contoh dalam dua kitab yang dinyatakan itu. Sedarlah wahai sahabat, ini satu sindiran sebenarnya. Bukan kerana dah khatam mengaji usuluddin.

Maka wajiblah kita menyerahkan seluruh hati dan jiwa kepadaNya dengan meninggalkan urusan-urusan duniawi buat seketika sebelum menunaikan fardhu solat. InsyaAllah.

Ya Allah. Syukur di atas segala nikmat pemberian Engkau. Segala pengetahuan dan kefahaman adalah dari Engkau jua. Lingdungilah kami semua dari syirik yang sehalus-halusnya. Bimbinglah kami seperti bimbingan kau kepada Rasul-rasul, Anbia’-anbia’, Auliya-auliya, para solihin, mukminin mukminat dan solihin solihat. Segala

Menurut riwayat, Sayyidina Umar al-Khattab pernah mengirim surat kepada hakim negeri dalam kekuasaanya dan dikatakan,

“Sesungguhnya dari sepenting-penting urusan kamu di sisiKu ialah sembahyang. Maka barangsiapa yang memelihara sembahyangnya maka ia memelihara agamanya. Dan barangsiapa mensia-siakanya, maka ia kepada apa-apa yag selain-lainnya lebih lagi mensia-siakan. Dan tidak ada bahagian dalam Islam bagi mereka yang meninggalkan sembahyang”

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum,
Ingin aku memperkenalkan dahulu diri aku ini. Aku ini baru sahaja belajar tentang sembahyang. Apabila aku membaca artikel ini, aku amat tertarik dan aku terfikir sejenak tentang sembahyang yg aku buat selama ini. Jika aku melihat sembahyang ku, aku bukan sahaja menipu dlm sembahyang ku malah aku menipu diluar sembahyang ku. Kerana apa yang aku ketahui dan apa yg baru aku pelajari, diri sembahyang ini terbahagi kepada 2, iaitu diri sembahyang di dlm sembahyang dan diri sembahyang diluar sembahyang. Rupa-rupanya aku lebih teruk kerana aku menipu di dlm sembahyang dan juga diluar sembahyang. Ini kerana takbir 'Allahuakbar'(Allah maha besar) tidak ku bawa setelah selesai sembahyang. Subhanallah

Anonymous said...

Sembahyang semasa waktu sembahyang. Sembahyang bukan pada waktu sembahyang.

Bagaimana nak bersembahyang di luar waktu sembahyang?